Sistem Pengurusan Organisasi

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia

Kembali
Image Description

Beberapa Renungan Daripada Novel Crime and Punishment Karya Fyodor Dostoevsky

muhamad adib ir... | PKPIM Pusat

May 02, 2025

Fyodor Dostoevsky ialah seorang penulis novel Rusia pada abad ke-19 yang masih sangat dikenali dan dibaca hingga ke hari ini. Salah satu karya beliau yang paling terkenal dan sering disyorkan kepada pembaca ialah Crime and Punishment. Namun, ini bukanlah novel yang mudah untuk dihadam. Ia sarat dengan monolog dalaman, konflik psikologi yang kompleks, dan renungan falsafah yang mendalam. Tambahan pula, satu watak kadangkala dirujuk dengan beberapa nama yang berbeza, menjadikan pembacaan lebih mencabar kerana memerlukan perhatian yang tinggi untuk mengingati nama-nama setiap karakter.

 

Walaupun ia agak sukar untuk dibaca, namun novel ini menarik kerana bukan hanya sebuah kisah pembunuhan yang sangat tragis yang dilakukan oleh Ralkolnikov (watak utama), tetapi kita dibawa masuk ke dalam kekusutan fikiran seorang manusia yang cuba untuk membenarkan tindakan dosanya itu. Dostoevsky bukan sekadar meceritakan jenayah, tetapi membuka ruang untuk kita menyelami krisis moral dan spiritual yang dihadapi oleh manusia apabila berdepan dengan tekanan hidup dan persoalan tentang keadilan. Sepanjang pembacaan, buku ini penuh dengan emosi turun naik dari rasa bersalah, ketakutan, penyesalan, hingga keinsafan, menjadikan pengalaman membaca novel ini berat, tetapi sangat berbaloi. oleh itu, terdapat beberapa renungan penting yang dapat kita peroleh daripada karya ini, khususnya apabila dikatikan dengan realiti dunia moden.

 

Dalam Crime and Punishment, Raskolnikov membunuh seorang wanita tua, Alyona Ivanovna, seorang lintah darat. Dia percaya bahawa wanita itu tidak berguna dan hanya menyusahkan orang lain. Raskolnikov yakin bahawa membunuhnya bukan satu kejahatan, malah boleh membawa kebaikan. Dia fikir bahawa dengan menghapuskan satu nyawa yang “tidak penting dan jahat”, dia telahpun melakukan perkara yang baik untuk masyarakat. Dengan kata lain, dia cuba untuk meyakinkan dirinya bahawa tujuan yang baik boleh menghalalkan cara.

 

Selepas pembunuhan itu, Raskolnikov tidak tenang. Dia mula dilanda rasa bersalah, gelisah, dan takut. Walaupun tiada sesiapa yang tahu akan pelakunya, jiwanya sendiri menghukumnya. Ini menunjukkan bahawa kebenaran moral yang dia ciptakan sendiri tidak dapat menutup hakikat bahawa dia telah melakukan pembunuhan.

Cara fikir seperti ini wujud pada hari ini. Ada orang yang menipu, menindas, atau melakukan salah laku, tetapi merasionalkan tindakan mereka atas dasar “tujuan yang lebih besar”. Misalnya dalam politik, ada pemimpin yang menafikan hak rakyat dengan alasan kestabilan. Dalam perniagaan, ada syarikat yang mengeksploitasi pekerja atas nama kemajuan ekonomi. Dalam media sosial, ada individu yang menyebarkan kebencian dengan alasan memperjuangkan kebenaran.

 

Situasi ini menunjukkan bagaimana moral boleh diselewengkan apabila seseorang merasakan dirinya “berhak” melanggar prinsip atas dasar kebenaran palsu yang diciptanya sendiri. Dostoevsky melalui watak Raskolnikov ingin menunjukkan bahawa perasaan bersalah dan keadilan tidak bergantung kepada undang-undang sahaja, tetapi bergantung kepada hati nurani manusia sendiri.

 

Dalam Islam, konsep keadilan sangat jelas dan tidak bergantung kepada kepentingan peribadi atau tujuan duniawi. Prinsip keadilan dalam Islam tidak boleh dikompromi walaupun terhadap diri sendiri, keluarga, atau orang yang dibenci. Firman Allah dalam Surah An-Nisa’, ayat 135, menegaskan agar umat Islam sentiasa menegakkan keadilan, “sekalipun terhadap diri kamu sendiri, ibu bapa, dan kaum kerabat kamu.” Ini berbeza dengan cara fikir Raskolnikov yang cuba mencipta justifikasi terhadap perbuatan jenayahnya. Islam tidak membenarkan perbuatan jahat walaupun dengan niat untuk mencapai kebaikan, kerana matlamat tidak pernah menghalalkan cara.

 

Raskolnikov hidup dalam keadaan yang sangat miskin. Dia tinggal di bilik kecil yang sempit, tidak mampu meneruskan pengajian, dan tertekan dengan keadaannya sendiri. Ibunya tua dan miskin, adiknya pula hampir dikahwinkan dengan lelaki kaya demi menyelamatkan kewangan keluarga. Semua ini menambah beban mental Raskolnikov. Tekanan hidup yang berpanjangan menyebabkan dia merasa marah, terasing, dan putus harapan. Pembunuhan yang dilakukannya bukan hanya berpunca daripada teori moralnya, tetapi juga kerana tekanan ekonomi dan sosial yang menyesakkan.

 

Apa yang ditunjukkan Dostoevsky ialah bagaimana persekitaran hidup yang keras boleh mempengaruhi cara seseorang berfikir dan bertindak. Raskolnikov bukannya jahat dari awal — dia terdesak, kecewa, dan hilang arah. Sistem masyarakat yang gagal menyokong golongan seperti Ralkonikov yang akhirnya menyumbang kepada keputusannya melakukan jenayah.

 

Situasi ini tidak jauh berbeza dengan hari ini. Ramai individu yang hidup dalam tekanan ekonomi, pekerjaan tidak stabil, hutang, dan kos sara hidup yang tinggi. Dalam keadaan begini, sesetengah orang mungkin mula mengambil jalan salah — mencuri, menipu, atau menyertai kegiatan jenayah — bukan kerana mereka mahu, tetapi kerana mereka rasa tiada pilihan lain. Kita juga lihat ramai anak muda mengalami masalah kesihatan mental akibat tekanan akademik, keluarga, dan harapan masyarakat yang tinggi.

 

Dostoevsky seolah-olah mahu kita faham bahawa jenayah tidak boleh dilihat sebagai masalah individu semata-mata. Ia juga adalah cerminan kepada kegagalan sistem yang lebih besar — ekonomi yang tidak adil, jurang kekayaan, dan tiadanya sokongan kepada golongan rentan. Dalam dunia moden, mesej ini masih relevan: jika kita mahu mengurangkan jenayah, kita juga perlu membetulkan sistem yang menekan manusia.

 

Salah satu watak penting dalam Crime and Punishment ialah Sonya (Sofya Semyonovna Marmeladova). Dia ialah anak kepada Marmeladov, seorang peminum tegar yang tidak bertanggungjawab. Disebabkan oleh kemiskinan yang teruk, Sonya terpaksa menjadi pelacur untuk menyara ibu tiri dan adik-adiknya yang kelaparan. Keputusannya bukan kerana kehendak nafsu, tetapi kerana desakan hidup dan tanggungjawab keluarga. Meskipun kerjanya dipandang hina oleh masyarakat, Sonya kekal sebagai seorang yang berpegang kepada nilai-nilai yang baik, berakhlak, dan penuh belas kasihan.

 

Sonya memainkan peranan besar dalam proses keinsafan Raskolnikov. Ketika Raskolnikov mengaku kepadanya bahawa dia telah membunuh, Sonya tidak menolak atau menghukumnya. Sebaliknya, dia menunjukkan simpati dan mengajak Raskolnikov untuk bertaubat serta menyerahkan diri. Sepanjang novel, Sonya menjadi simbol harapan dan jalan keluar bagi Raskolnikov yang sedang tenggelam dalam rasa bersalah. Dia mewakili kekuatan rohani yang mampu menyelamatkan jiwa manusia, walaupun dirinya sendiri dipinggirkan oleh masyarakat.

Apa yang ditunjukkan Dostoevsky ialah pemulihan sebenar tidak berlaku melalui hukuman fizikal semata-mata, tetapi melalui kasih sayang, penerimaan, dan sokongan moral. Raskolnikov akhirnya menyerah diri bukan kerana dia dipaksa, tetapi kerana dia sudah tidak mampu menanggung beban kesalahan dalam jiwanya. Sonya membantu membuka pintu keinsafan itu, bukan dengan tekanan, tetapi dengan kesabaran dan belas kasihan.

 

Dalam dunia moden, pendekatan terhadap pesalah masih banyak bergantung pada hukuman, bukan pemulihan. Sistem keadilan lebih menekankan pembalasan berbanding penyembuhan. Namun, watak Sonya menunjukkan bahawa sokongan moral, empati, dan peluang untuk berubah juga penting. Dalam Islam, konsep taubat sangat ditekankan di mana pintu keampunan sentiasa terbuka bagi sesiapa yang benar-benar menyesal dan ingin berubah. Ini sejajar dengan peranan Sonya yang membimbing, bukan menghukum. Namun perbuatan Sonya sebagai seorang pelacur untuk menyara dirinya juga adalah tindakan yang salah.

 

Berikut adalah beberapa renungan ringkas terhadap novel agung ini, kerana lebih banyak renungan-renungan yang signifikan boleh difikirkan jika kita membacanya dengan baik. sekian.

Bacaan Lanjut !

Image Description

PKPIM SOKONG PINDAAN AKTA 585 DAN AKTA 505: LANGKAH MEMPERKASA INSTITUSI PERUNDANGAN SYARIAH NEGARA

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan penuh sokongan mengalu-alukan pindaan Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Akta 585) dan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Akta 505) yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 5 Disember 2024. Pindaan ini adalah manifestasi usaha serius

Image Description
MUHAMMAD DZUL AIMAN... | PKPIM Pusat
Image Description

KENYATAAN MEDIA PELIHARA KEHARMONIAN NEGARA, PKPIM GESA PIHAK BERWAJIB AMBIL TINDAKAN SEGERA

Baru-baru ini pihak Universiti Malaya telah menjemput Bruce Gilley yang merupakan Professor Universiti Portland, Amerika Serikat untuk diberikan ucaptama dalam salah satu program dan menyatakan syarahan yang bersifat *Pro-Israel* secara jelas & nyata.

Image Description
Admin mypkpim | PKPIM Pusat
Image Description

ADAB DAN AKHLAK: CERMINAN KEPERIBADIAN DALAM HUBUNGAN SOSIAL

Hidup di zaman penuh cabaran memerlukan kita bersikap rasional dan memahami kesusahan orang lain. Menjaga adab dan hormat sesama manusia adalah kunci keharmonian, sebagaimana dinyatakan dalam Surah An-Nahl ayat 90.

Image Description
MUHAMMAD KHALIL BIN... | PKPIM Pusat
Image Description

MEMUPUK EMPATI DAN MENJAMIN KEADILAN: HENTIKAN KEKERASAN TERHADAP GOLONGAN OKU

Isu kekerasan terhadap individu Orang Kurang Upaya (OKU) yang tular baru-baru ini di pasar malam Kemaman telah mencetuskan kemarahan dan rasa kesal dalam kalangan masyarakat. Kejadian ini mencerminkan kegagalan kita sebagai sebuah masyarakat untuk mempertahankan hak asasi manusia dan menunjukkan ...

Image Description
Anis arissa binti mo... | PKPIM Pusat
Image Description

APABILA JARI JADI PEDANG: FITNAH DI ALAM MAYA

Ramai kini bertindak seolah-olah menjadi hakim dan juri, menjatuhkan hukuman terhadap individu hanya berdasarkan satu video tular, satu ciapan tanpa konteks, atau kenyataan tanpa semakan.

Image Description
MUHAMMAD KHALIL BIN... | PKPIM Pusat
Image Description

Revolusi Iran 1979: Ketika Rakyat Bangkit Menjatuhkan Raja

Revolusi Iran yang meletus pada tahun 1979 bukan sekadar satu peristiwa politik biasa, ia merupakan antara kebangkitan rakyat paling besar dalam sejarah abad ke-20 selain daripada Revolusi Perancis dan Revolusi Rusia bagi menjatuhkan Dinasti beraja yang telah perintah Iran selama 2,500 tahun.

Image Description
Nur muhammad naufal... | PKPIM PERLIS