Sistem Pengurusan Organisasi

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia

Kembali
Image Description

Rasional vs Emosional

Ali Imran bin S... | PKPIM Pusat

February 26, 2025

Dalam kehidupan kita yang dipenuhi dengan pelbagai onak dan duri, kita juga sering memiliki dilema sama ada ingin mengikut kata hati atau bertindak secara berhati-hati. Ada kalanya kita perlu bersikap rasional, berhati-hati dalam membuat keputusan, tetapi ada juga masanya ketika kita perlu mendengar suara hati dan perasaan. Namun, persoalan yang perlu diketengahkan adalah, bilakah kita perlu bersikap rasional dan bilakah kita perlu menjadi emosional.

 

MEMAHAMI RASIONAL VS EMOSIONAL

 

Rasional merujuk kepada pemikiran yang berlandaskan kepada logik, analisis, fakta dan data. Keputusan dan tindakan yang disalurkan secara rasional kebiasaannya lebih objektif, tidak dipengaruhi oleh perasaan peribadi serta mencapai hasil yang terbaik berdasarkan bukti dan garis panduan sedia ada. Sebagai contoh, dalam sesebuah persatuan, seorang pemimpin persatuan perlu menganalisis data dan kesesuaian masa sebelum melaksanakan apa-apa program, bukan hanya kerana dia sendiri berasa semangat dan yakin.

Sebaliknya, emosional ini pula sungguh berkait rapat dengan perasaan, gerak hati dan pengalaman peribadi. Keputusan yang terhasil daripada emosi ini sering kali lebih spontan dan dipengaruhi oleh keadaan semasa. Contohnya dalam hubungan peribadi, kita akan lebih cenderung membuat keputusan berdasarkan rasa kasih sayang, empati dan ego.
 

KELEBIHAN & KELEMAHAN RASIONAL VS EMOSIONAL


Keputusan yang dibuat secara rasional mempunyai beberapa kelebihan yang kita boleh pertimbangkan. Antaranya, ia lebih berbentuk tepat dan objektif seperti yang dinyatakan tadi kerana ia tidak dipengaruhi oleh perasaan yang boleh menjadi kabus yang menutupi keadilan pertimbangan. Selain itu, keputusan yang dibuat berdasarkan fakta dan garis panduan yang jelas dapat memastikan tindakan yang diambil mempunyai asas yang kukuh. Bersikap rasional juga dapat membantu mengurangkan kesilapan akibat daripada tindakan impulsif kerana setiap langkah yang diambil itu telah dianalisis dengan baik.
 

Namun, pendekatan secara rasional ini juga mempunyai kelemahan. Pertama, kita akan mengurangkan sikap empati kita kerana terlalu menekankan logik sehingga kita mengabaikan aspek kemanusiaan dalam membuat keputusan. Kedua, rasional boleh menjadi kurang fleksibel kerana tidak mengambil kira situasi yang memerlukan pertimbangan emosi.
 

Sama seperti rasional, keputusan yang dibuat berdasarkan emosi juga mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Ia membolehkan kita untuk lebih memahami perasaan orang lain, sekali gus mengeratkan hubungan sesama manusia. Emosi juga memainkan peranan penting dalam kreativiti dan ekspresi diri, terutamanya dalam mengumpulkan idea yang inovatif dan futuristik. Tambahan pula, tindakan yang berasaskan emosi sering kali membantu seseorang bertindak pantas dalam situasi mendesak.
 

Walau bagaimanapun, emosi juga mempunyai kelemahan. Ia mudah dipengaruhi oleh perasaan negatif seperti kemarahan, ketakutan dan ego, yang boleh menghasilkan keputusan yang tidak seimbang adilnya. Selain itu, keputusan yang dibuat secara emosional ini kelihatan kurang stabil dalam jangka masa yang panjang kerana emosi manusia berubah-ubah, menyebabkan tindakan yang diambil itu tidak begitu konsisten.

 

MENCARI NILAI WASATIYYAH ANTARA RASIONAL VS EMOSIONAL

 

Dalam Islam, keseimbangan antara rasional dan emosional diperlukan dalam menerapkan konsep wasatiyyah atau kesederhanaan. Islam mengajarkan bahawa dalam membuat sebarang keputusan, seseorang itu perlu menyeimbangkan daya fikiran dan emosi terancang. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat 143 yang mafhumnya menyebutkan tentang umat Islam sejati adalah umat yang bersederhana (ummatan wasatan). Kesederhanaan ini bermaksud kita tidak boleh bersikap terlalu kaku atau rigid dengan nilai rasional semata-mata sehingga kita mengabaikan nilai kemanusiaan, mahupun terlalu emosional sehingga kita mengabaikan fakta dan kebenaran.

 

Dalam konteks berpersatuan, keseimbangan antara rasional dan emosional sangat penting dalam kepimpinan dan pengurusan organisasi. Sebagai contoh, saf pimpinan persatuan perlu bersikap rasional dalam membuat keputusan berkaitan kewangan, gerak kerja organisasi dan hala tuju program agar tidak berlaku sebarang pembaziran atau tindakan yang tidak efektif. Pada masa yang sama, para pemimpin tersebut juga perlu mempunyai kepekaan emosi untuk memahami keperluan ahli, mendengar keluhan masalah mereka dan membina semangat berpasukan yang utuh.

 

Nabi Muhammad SAW juga boleh dijadikan role model terbaik dalam mengimbangi rasional dan emosional. Baginda menggunakan akal fikiran dalam perancangan strategi peperangan dan pentadbiran negara, tetapi pada masa yang sama, Baginda juga memiliki empati dan kasih sayang yang tinggi terhadap umatnya. Ini menunjukkan bahawa Islam menekankan kepentingan membuat keputusan berdasarkan ilmu dan kebijaksanaan serta mempertimbangkan aspek kemanusiaan dalam setiap tindakan.

KESIMPULAN

 

Rasional dan emosional bukanlah dua elemen yang bertentangan pada hakikatnya, tetapi sebaliknya, ia perlu bergerak seiring bagi melahirkan individu yang seimbang dalam pemikiran dan tindakan. Dalam dunia yang semakin kompleks ini, keupayaan untuk menggabungkan logik dan perasaan dengan bijak akan membantu kita menjadi individu yang lebih matang dalam menghadapi pelbagai situasi kehidupan. Dalam aktiviti berpersatuan, keseimbangan ini akan melahirkan kepimpinan yang lebih cekap, harmoni dan mampu memberi manfaat kepada masyarakat mahupun ahli gerakan. Oleh itu, jangan takut untuk menggunakan akal dan hati secara bersamaan dalam mencari penyelesaian terbaik, selaras dengan prinsip kesederhanaan Islam yang mengajarkan keseimbangan dalam segala aspek kehidupan.

Bacaan Lanjut !

Image Description

GRAFITI: EJEN RISALAH REVOLUSI KEBANGKITAN RAKYAT BANGLADESH

Pada tanggal bersejarah 31 Disember 2024, Dhaka menjadi saksi kepada detik gemilang yang menggambarkan keagungan perjuangan Islam yang hakiki. Dalam perhimpunan yang penuh semangat di Bangladeshi Islami Chatrashibir Central Member Conference 2024, saya, Muhammad Dzul Aiman bin Zulkefly, dengan penuh

Image Description
MUHAMMAD DZUL AIMAN... | PKPIM Pusat
Image Description

Kisah Para Anbiya' & Gerakan Islam : Nabi Adam AS

Artikel ini menceritakan tentang kepentingan Gerakan Pelajar Islam dalam meneladani kisah para anbiya' dalam meneguhkan moral serta fundamental setiap individu supaya kita dapat merealisasikan visi, misi dan slogan 'Hidup Biar Berjasa'. (Siri ini membawakan kisah Nabi Adam AS)

Image Description
Ali Imran bin Saharu... | PKPIM Pusat
Image Description

KENYATAAN MEDIA PKPIM MENGGESA PIHAK BERTANGGUNGJAWAB TELITI KRISIS AIR DEMI KEBAJIKAN MAHASISWA DI KAMPUS

PKPIM mengambil cakna isu yang terkait dengan kebajikan mahasiswa. Baru-baru ini telah tular beberapa isu yang berkaitan kebajikan mahasiswa iaitu krisis air.

Image Description
Admin mypkpim | PKPIM Pusat
Image Description

PKPIM MENGECAM TINDAKAN CADANGAN DONALD TRUMP MEMINDAHKAN RAKYAT PALESTIN

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan tegas mengecam kenyataan dan cadangan Donald Trump baru-baru ini yang mencadangkan pemindahan rakyat Palestin dari Gaza ke negara jiran seperti Mesir dan Jordan. Cadangan ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah melanggar hak asasi

Image Description
MUHAMMAD DZUL AIMAN... | PKPIM Pusat
Image Description

PKPIM MENYERU MAHASISWA BERWASPADA DENGAN IDEOLOGI EKSTREMISME AGAMA

Pada 17 Mei 2024, Jumaat telah tular satu berita tragedi di Balai Polis Ulu Tiram. PKPIM mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi tersebut.

Image Description
Admin mypkpim | PKPIM Pusat
Image Description

Syria Pasca Assad: Cabaran dan Harapan di Sebalik Kejatuhan Rejim

Syria baru sahaja mengalami gelombang perubahan yang signifikan. Diktator sudah jatuh, Kebebasan serta harapan kini terbentang luas di hadapan mata. Namun, banyak cabaran yang perlu dihadapi oleh negara ini dalam mencapai kemakmuran serta kedamaian yang dicari. Selamat membaca

Image Description
Nur muhammad naufal... | PKPIM PERLIS